INILAH 8 NASIHAT RASULULLAH S.A.W BUAT ANDA YANG BERGELAR SUAMI…KONGSIKAN BIAR RAMAI TAHU..!

PENTING!… Inilah 8 Nasihat Rasulullah SAW Buat Anda Yang Bergelar SUAMI!… Ternyata Inilah Kunci Kebahagiaan Sesebuah Keluarga, Kongsikan Agar Ramai Tahu!…

Kaum adam, khususnya ‘suami’ adalah individu penting dalam sesebuah keluarga. Mereka diibaratkan seperti nakhoda yang mengemudi kapal di lautan serta bertanggungjawab terhadap keselamatan kesemua anak kapal yang berada di bawah seliaannya.

Sudah tentu, sebelum pelayaran dimulakan segala persiapan harus dilakukan dengan terperinci. Keadaan kapal yang bakal memuatkan anak kapal haruslah diperiksa.

Faktor cuaca, suhu sekeliling, tiupan angin, keadaan laut ketika itu juga perlu diteliti bagi memastikan perjalanan bagi mengemudi kapal tersebut tidak berlaku perkara yang tidak diingini.

Peri penting dan besarnya tugas yang digalas oleh nakhoda kapal bagi memastikan segalanya berjalan dengan lancar. Begitu juga peranan serta tanggungjawab para suami dalam mengemudi bahtera keluarganya.

Loading...

Dalam hal ini, Rasulullah S.A.W ada menasihatkan para suami tentang beberapa perkara. Antaranya seperti berikut;
#1 – Tidak Membenci Pasangan Yang Beriman
Dalam melayari alam rumahtangga, sudah pasti ada beberapa perkara yang kadang membangkitkan emosi atau ego antara kedua pasangan, terutama daripada pihak suami.

Masing-masing mahu mempertahankan pandangan sehingga kadang ‘terbenci’ dengan sikap pasangan yang tidak mahu menyokong pandangannya. Justeru, dalam hal ini beringatlah akan sabda Rasulullah S.A.W, Abu Hurairah R.A berkata, Rasulullah S.A.W bersabda;

“Janganlah seorang mukmin membenci wanita yang beriman. Jika dia membenci salah satu perangainya, maka masih ada perangai lain yang menyenangkannya.”Hadis Riwayat Muslim

Walaupun ada satu sikap isteri yang kurang disenangi oleh para suami, ingatlah ada sikap lain yang lebih baik padanya. Ini kerana boleh jadi kita membenci sesuatu itu, padahal ia amat baik bagi diri kita.
#2 – Menghormati Kaum Wanita
Muawiyah R.A berkata;

“Aku pernah bertanya kepada Rasulullah S.A.W, ‘Apakah hak isteri terhadap suaminya?’ Rasulullah S.A.W menjawab, ‘Memberi makan jika kamu makan, memberi pakaian jika kamu berpakaian, tidak memukul wajah, tidak menghina dan tidak pula meninggalkan isteri melainkan dia tetap berada di rumahnya’.”Hadis Riwayat Abu Daud

Dalam konteks ‘menghormati’ kaum wanita ini bukanlah bermaksud para suami perlu menjadi ‘hamba’ kepada pasangannya. Tidak sama sekali. Hadis ini merupakan panduan buat para suami supaya tidak mensia-siakan kaum wanita terutama para isteri.

Tahukah kita, Rasulullah S.A.W amat menghormati dan melayani para isterinya dengan cara yang cukup mulia.
#3 – Memaklumkan Kepulangan Kepada Isteri Di Rumah
Anas r.a berkata, Rasulullah S.A.W bersabda;

“Janganlah kalian mengetuk pintu isterimu di malam hari.”

Dalam riwayat lain, Rasulullah S.A.W menegaskan larangan tersebut supaya para isteri yang ditinggalkan itu dapat membuat persiapan dengan merapikan dirinya bagi menyambut kepulangan suami masing-masing.

Loading...

Ada benarnya gesaan seperti ini kerana apabila para isteri tidak dimaklumkan tentang kepulangan suami lebih awal, dibimbangi isteri yang berada di rumah dalam keadaan yang kurang menyenangkan seperti baju berbau busuk, tidak mandi lagi, rumah berselerakan, makanan tidak dimasak dan sebagainya.

Lalu, apabila situasi tersebut berlaku sejurus suami pulang ke rumah, sudah pasti akan mematikan ‘mood’ si suami yang letih dan mahu berisitirehat di rumah. Bahkan, lebih parah apabila keadaan ini akan menimbulkan pula kebencian di hati suami terhadap isteri yang sudah pasti akan memberi kesan terhadap institusi keluarga yang dibina.
#4 -Memberi Nafkah Kepada Keluarga
Rasulullah S.A.W bersabda;

“Sesungguhnya nafkah yang kamu keluarkan kerana mengharap keredaan Allah S.W.T nescaya akan dibalas dengan pahala, termasuk apa yang kamu masukkan ke dalam mulut isterimu.”Hadis Riwayat Bukhari

Nafkah keluarga adalah satu kewajipan buat setiap ketua keluarga terutama suami. Namun begitu, haruslah diingat serta diteliti sumber bagi memperolehinya. Ini kerana apa-apa yang diberikan kepada ahli keluarga itu terutama dalam soal pemakanan kelak akan menjadi darah daging dalam tubuh mereka. Jika baik sumbernya, maka baiklah seluruhnya.
#5 – Menjaga Rahsia Suami Isteri
Diriwayatkan dari Abi Sa’id Al-Khudri, Rasulullah S.A.W bersabda;

“Sesungguhnya manusia paling buruk tempatnya di sisi Allah S.W.T pada hari kiamat adalah suami yang mendatangi isterinya dan isterinya mendatanginya (berhubungan intim) lalu dia sebarkan rahsianya.”Hadis Riwayat Muslim

Menerusi hadis ini dapat difahami bahawa yang dimaksudkan dengan sebaran rahsia tersebut adalah hal yang berlaku antara suami isteri di tempat tidur. Perkahwinan adalah satu ikatan yang suci.

Oleh itu, berusahalah untuk memelihara ikatan tersebut daripada perkara-perkara yang boleh merosakkannya, antaranya dengan menceritakan perihal hubungan kelamin kepada rakan, ahli keluarga dan sebagainya.
#6 – Perintahkan Ahli Keluarga Untuk Solat
Firman Allah S.W.T yang bermaksud;

“Dan, perintahkanlah kepada keluargamu mendirikan solat dan bersabarlah kamu dalam mengerjakannya. Kami tidak meminta rezeki kepadamu, (bahkan) Kamilah yang memberi rezeki kepadamu. Dan, akibat itu adalah bagi orang yang bertakwa.”Surah Taha : 132

Solat yang menjadi tiang atau asas dalam agama juga perlu dititikberatkan. Ini kerana salah satu kelebihan bagi mereka yang memelihara ibadah solat ini adalah ia dapat menghindarkan diri daripada perkara yang keji dan mungkar.

Loading...

Seterusnya memberi ketenangan kepada seisi rumah. Adapun, jika solat tidak dipelihara, dibimbangi ia akan memberi kesan buruk dalam kehidupan keluarga itu sendiri.
#7 – Tidak Meninggalkan Isteri Terlalu Lama
Aisyah R.A meriwayatkan;

“Apabila Rasulullah S.A.W hendak melakukan perjalanan, Baginda akan mengundi isteri-isterinya dan siapa yang namanya keluar, maka dialah yang akan menemani Baginda S.A.W dalam perjalanan.”Hadis Riwayat Tirmizi

Hal ini menunjukkan bahawa Rasulullah S.A.W juga tidak akan meninggalkan isterinya sekalipun ketika berjihad. Baginda akan melakukan undian dan memastikan salah seorang daripada mereka akan ikut serta.

Ini kerana meninggalkan isteri dalam tempoh masa yang lama dibimbangi akan melunturkan rasa kasih seterusnya menjadikan sesebuah perhubungan itu rapuh dan mudah ditiup angin. Akibatnya, perceraian juga akan mudah berlaku.
#8 – Tidak Membawa Perkara Yang Bertentangan Masuk Ke Dalam Rumah
Abu Talhah meriwayatkan, Rasulullah S.A.W bersabda;

“Malaikat tidak akan masuk ke dalam rumah yang di dalamnya ada anjing dan gambar (patung atau lukisan.”Muttafaqun Alaih

Bagi mewujudkan rumahtangga yang harmoni, hal ini juga haruslah dititikberatkan. Sebagai ketua keluarga, para suami hendaklah memastikan tiada perkara yang bertentangan dengan syariat Islam ada di dalam rumah masing-masing.

Gantikanlah hal tersebut dengan perkara yang lebih berfaedah untuk seisi keluarga seperti solat berjemaah atau bacaan Al-Quran.

Diharapkan perkongsian ini akan dapat memberi panduan kepada umat Islam terutamanya para suami yang mengemudi bahtera rumahtangga masing-masing.

Galakan serta saranan Baginda S.A.W ini tidak lain adalah bagi memandu kehidupan manusia agar tidak tersasar dari jalan-Nya. Moga bermanfaat untuk semua. Wallahua’lam.

KONGSIKAN ARTIKEL INI
Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah ramai yang akan mendapat manafaat.

Loading...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *